Latarbelakang

Penganjuran SEWARNA 2019 ini bakal mengorak langkah baru dengan memperkenalkan konsep acara berteraskan TVET dan acara berteraskan seni budaya digembleng di bawah satu program utama. Ia selari dengan Dasar Industri Kreatif Negara untuk memperkenal dan melestarikan pelbagai khazanah kesenian rakyat di Malaysia secara amnya. Ia juga akan digariskan sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menjadi teras dalam penganjuran.

Matlamat festival adalah untuk menyediakan ruang dan peluang kepada semua lapisan pelajar untuk menghayati semangat kemerdekaan dan memperkenalkan seni budaya yang diterapkan unsur-unsur kreativiti berteraskan Revolusi Industri 4.0 tanpa menjejaskan elemen tradisi dan budaya masing-masing, selain membantu mempromosikan kesenian rakyat tempatan di peringkat nasional seterusnya luar negara.

SEWARNA 2019 akan menampilkan pelbagai kelainan dari segi pengisian aktiviti dan pelaksanaan program. Semarak Merdeka akan mengetengahkan pertandingan kemahiran berkonsepkan patriotik, serta pameran dari agensi-agensi berkaitan pertahanan negara. Manakala melalui kebudayaan, tiga genre seni akan dipertandingkan iaitu monodrama, tarian zapin dan dendang lagu rakyat, dengan mengambilkira ketiga-tiga cabang seni ini sudah lama tidak dipertandingkan di peringkat Politeknik Malaysia. Menariknya, pengisian acara SEWARNA 2019 mempunyai keberterusan untuk dibanggakan menerusi penerbitan buku monodrama, pertandingan monodrama, pertandingan cosplay, serta dendang lagu rakyat.

Melalui tema ‘MEMARTABAT WARISAN, MEMBINA INSAN’, SEWARNA 2019 akan menitikberatkan elemen persaingan sihat dan pembugaran idea yang pastinya melalui proses eksperimentasi tanpa meminggirkan elemen penting kesenian asal yang mendasari keseluruhan pertandingan FESTIVAL KEBUDAYAAN DAN SENI WARISAN KE-9 & SEMARAK MERDEKA NASIONAL POLITEKNIK & KOLEJ KOMUNITI MALAYSIA 2019.