SEWARNA hidang persembahan kebudayaan

Siapa tak kenal dengan dikir barat, wayang kulit, zapin, dan dendangan lagu rakyat? Tambahan pula penampilan nama-nama tersohor seperti pelakon Sabri Yunus dan Roslan Madun pastinya menarik perhatian.

SEWARNA 2019 yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 September 2019 ini menawarkan kesemua itu sebagai pengisian festival khusus untuk warga Muadzam Shah.

Festival kebudayaan dan semarak merdeka yang julung kali diadakan di Politeknik Muadzam Shah ini menghimpunkan seramai 600 peserta dari politeknik seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Serawak.

Pada 17 September 2019, dua pertandingan akan berlangsung serentak. Pertandingan zapin tradisional kreatif akan diadakan di Auditorium Pusat Kebudayaan PMS, manakala pertandingan monodrama di Dewan Seri Muadzam (Dewan Kuliah Utama).

Di sebelah malamnya akan diadakan Malam Seni Pantai Timur bertempat di Auditorium Pusat Kebudayaan PMS. Para penonton akan dihidangkan dengan persembahan dikir barat gabungan Kumpulan Dikir Barat Seri Arjuna Shah PMS bersama Akademi Arjunasukma dari Lembah Klang. Akademi Arjunasukma terdiri dari kalangan pendikir dalam rancangan Karoot Komedia terbitan ASTRO.

Persembahan dikir barat ini diperkuatkan lagi dengan penampilan khas pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang akan memainkan peranan sebagai tukang karut.

Malam itu juga akan diadakan persembahan wayang kulit oleh Tok Dalang Cilik Pyu yang baru berusia lima tahun.

Keesokannya pada 18 September 2019, pertandingan monodrama diteruskan lagi di lokasi yang sama. Manakala pertandingan muzikalisasi lagu rakyat akan diadakan di Auditorium Pusat Kebudayaan PMS.

Acara disambung lagi dengan Malam Gala Seni yang akan menampilkan persembahan monodrama, dekon, tarian zapin, dendangan syair dan lagu rakyat. Roslan Madun turut membuat persembahan menyampaikan beberapa buah lagu sepanjang persembahan ini.

Orang ramai yang ingin hadir menyaksikan pertandingan dan persembahan sepanjang SEWARNA 2019 adalah dinasihatkan untuk datang awal kerana tempat duduk di dalam Auditorium Pusat Kebudayaan dan Dewan Seri Muadzam adalah terhad.