Raja Syair Nusantara buat penampilan di Muadzam Shah

Kalau dengar lagu ‘Lemak Manis’ dan ‘Menghilir Di Sungai Pahang’, pasti akan terngiang-ngiang suaranya di corong radio. Sesiapa yang pernah berjumpa dengan beliau, tentu akan kenal wajah tersebut yang kini semakin kerap muncul di kaca televisyen berlakon dalam drama dan telefilem tempatan.

Itulah Roslan Madun, penyanyi lagu rakyat Pahang yang kini semakin dikenali bukan sahaja di Malaysia bahkan di luar negara seperti Brunei dan Indonesia.

Roslan Madun ketika mengadakan bengkel di Tanjungpinang.
Foto: Noor Kasmara Sokarnor

Setelah dinobatkan sebagai Raja Syair Nusantara oleh Grup Yong Dolah di Bengkalis pada tahun 2018, penyair tersohor ini turut mendapat pengiktirafan yang serupa dari Tanjungpinang. Terbaru, Universiti Sains Islam Malaysia turut memberi penghargaan atas sumbangannya dalam memperjuangkan irama syair sejak sekian lama.

Anak kelahiran Kampung Durian Tawar, Pahang yang berusia 67 tahun ini turut menjadi pakar rujuk oleh ramai pihak yang ingin mengadakan pertandingan dan kajian berkaitan syair.

Beliau akan tampil sebagai juri pertandingan muzikalisasi lagu rakyat pada 18 September 2019 di Politeknik Muadzam Shah nanti. Roslan Madun juga akan membuat persembahan di Malam Gala Seni SEWARNA 2019 pada sebelah malam hari yang sama.

Turut menjadi juri dan membuat persembahan ialah Juara Gurindam Kebangsaan, Zafirah Bahiyah Hassan dari Johor. Pemilik suara yang lunak merdu ini akan menyampaikan beberapa buah syair sebagai halwa telinga penonton nanti.

Zafirah ketika membuat persembahan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Syair Alam Melayu Nusantara 2016.
Foto: Noor Kasmara Sokarnor

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan mereka boleh hadir ke Auditorium Pusat Kebudayaan Politeknik Muadzam Shah pada 18 September 2019, jam 8.00 malam. Penonton adalah dinasihatkan untuk tiba awal kerana auditorium hanya memuatkan sekitar 200 ke 300 orang penonton sahaja.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web #sewarna2019, Instagram @senibudayapms dan halaman rasmi Sekretariat Seni Budaya PMS.