Tok Dalang Cilik Pyu bakal beraksi di #SEWARNA2019

Kepetahannya berkata-kata di sebalik tabir memukau para penonton. Kelincahan tangannya menggerakkan patung wayang kulit di sebalik kelir membuatkan penonton terpaku di tempat duduk. Itulah bakat yang lahir dari seorang tok dalang cilik bernama Pyu, atau nama sebenarnya Aqfierudzar Rizq bin Mohd Sulhie.

Tok Dalang Pyu ketika beraksi di Yala, Thailand awal tahun lalu.
Foto: Noor Kasmara Sokarnor

Usia Pyu baharu lima tahun, namun kepetahan menyampaikan bait-bait cerita sambil menggerakkan patung wayang kulit di balik tabir layar putih cukup luar biasa.

Pyu bakal beraksi di Festival SEWARNA 2019 ketika malam pembukaan festival pada 17 September 2019 nanti menerusi slot Malam Seni Pantai Timur.

Menurut bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd. Sulhie Yusoff, Pyu mula menunjukkan minat terhadap wayang kulit sejak berusia tiga tahun. Disebabkan minat yang mendalam itu, dia membuatkan kelir (layar putih) di rumahnya untuk Pyu berlatih setiap hari.

“Segalanya bermula apabila Pyu didedahkan dengan persembahan Kumpulan Wayang Kulit Arjunasukma yang diketuai oleh saya sendiri.

 “Dari situlah, saya mula nampak Pyu amat ‘menggilai’ wayang kulit dan akhirnya membenarkan dia untuk mempelajari dunia tok dalang,” katanya.

Turut membuat persembahan pada malam tersebut ialah Sabri Yunus bersama kumpulan dikir barat Karoot Komedia yang terdiri dari gabungan pendikir Akademi Arjunasukma, kumpulan dikir barat Keratong, dan pelajar-pelajar Politeknik Muadzam Shah sendiri.

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan ini boleh ke Auditorium Pusat Kebudayaan Politeknik Muadzam Shah bermula jam 8.00 malam.

Namun mereka dinasihatkan oleh pihak penganjur agar datang awal kerana auditorium ini hanya mampu memuatkan antara 200 ke 400 orang penonton sahaja.