PMS sedia terima 600 peserta #SEWARNA2019

MUADZAM SHAH – Seramai 164 pelajar dan 80 staf serta pensyarah PMS yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa Festival Kebudayaan dan Seni Warisan ke-9 & Semarak Merdeka Nasional Politeknik & Kolej Komuniti Malaysia atau dikenali Festival SEWARNA 2019, kini telah mula mengatur gerak kerja untuk menyambut ketibaan para peserta dari seluruh tanahair.

sewarna logo jpeg
Logo rasmi Festival SEWARNA 2019 yang menggabungkan dua program dalam satu temasya peringkat kebangsaan.

Festival yang julung kali diadakan di Politeknik Muadzam Shah ini dijangkakan meriah dengan lima acara utama dipertandingkan iaitu monodrama, tarian zapin tradisional kreatif, muzikalisasi lagu rakyat, patriotic cosplay dan fotografi. Ia bakal disertai 600 peserta dari politeknik seluruh Malaysia dan beberapa kolej komuniti di wilayah Pahang.

Di samping itu, terdapat pelbagai acara sampingan yang bakal menggegarkan warga Muadzam Shah seperti persembahan dikir barat bersama kumpulan Karoot Komedia dan artis Sabri Yunus. Penyanyi lagu rakyat dan pengarah drama tv, Roslan Madun dan Kumpulan Anak Kayan juga bakal tampil membuat persembahan.

Selain itu, SEWARNA 2019 akan dipenuhi dengan pengisian penuh informasi seperti pameran pendidikan dan inovasi dari pelajar-pelajar Politeknik Muadzam Shah. PMS juga akan ada menyediakan gerai jualan dan trak makanan sepanjang festival berlangsung.

Nuur Asikin Abdullah, 20, yang merupakan pengarah festival ini berkata, SEWARNA 2019 akan menampilkan keunikan seni budaya bangsa dan semangat patriotisme anak Malaysia yang tinggi dan berkualiti. “Format pertandingan yang lain dari yang lain dan tidak pernah diadakan sebelum ini menjadi teras keunikan festival yang kami anjurkan buat julung kalinya di Muadzam Shah,” ujar gadis kecil molek ini.

Nuur Asikin Abdullah, 20, Pengerusi Sekretariat Seni Budaya PMS yang juga pengarah bersama Festival SEWARNA 2019.

Beliau yang lebih dikenali Ekie turut berkata, festival ini turut dihiasi dengan pelbagai acara sampingan khusus untuk pelajar sekolah dan orang ramai adalah dijemput hadir ke PMS sepanjang festival berlangsung. Pelajar tahun pertama ini turut akan membuat persembahan khas dekon sempena Malam Gala Seni yang akan berlangsung pada malam ketiga festival.

SEWARNA 2019 bakal berlangsung bermula 16 hingga 19 September 2019 di Politeknik Muadzam Shah, Pahang. Untuk mendapatkan maklumat lanjut festival, sila layari laman web https://sewarna2019.com, melalui media sosial Sekretariat Seni Budaya PMS dan instagram @senibudayapms.