PMS anjur bengkel monodrama di DBP

Seramai 42 peserta dari Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Malaysia telah menyertai bengkel seni lakon yang julung kali diadakan di Stor Teater DBP baru-baru ini.

Bengkel ini yang diadakan hasil usaha Sekretariat Seni Budaya Politeknik Muadzam Shah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah bertujuan untuk mempersiapkan peserta menghadapi pertandingan monodrama yang akan diadakan sepanjang Festival SEWARNA 2019 nanti.

Dua orang tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam bidang lakonan monodrama telah dijemput iaitu Puan Juhara Ayob dan En. Azmy Ahamad. Juhara merupakan Pengarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA, manakala Azmy adalah seorang pelakon pentas yang telah berkecimpung dalam teater sejak 2001.

Salah seorang peserta, Nuur Asikin Abdullah, 18, berkata, bengkel ini membuka ruang kepadanya untuk meneroka watak yang akan dibawa dengan lebih mendalam lagi.

Dia yang juga Pengerusi Sekretariat Seni Budaya PMS turut melahirkan rasa bangga kerana Politeknik Muadzam Shah mampu menganjurkan bengkel sedemikian di luar politeknik, khusus untuk rakan-rakannya dari politeknik lain.

Menariknya, peserta dihidangkan dengan persembahan monolog oleh En. Azmy dan monodrama oleh Puan Juhara di akhir bengkel, bagi memberikan gambaran jelas kepada mereka bagaiamanakah persembahan yang benar-benar berkesan. Nyata ia meninggalkan kesan terhadap peserta yang menonton.

Semoga bengkel yang diadakan mampu melonjak bakat peserta dan menghasilkan persembahan yang berkualiti di SEWARNA 2019 nanti.