Bengkel penulisan skrip di Tanjung Piai

Peserta bergambar kenangan bersama En. Zakaria Ariffin.

Seramai 28 orang peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar Politeknik Malaysia berkampung di Tanjung Piai mengikuti bengkel penulisan skrip monodrama anjuran Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan baru-baru ini.

Bengkel tersebut yang bertujuan untuk melahirkan penulis di kalangan pelajar politeknik dikendalikan oleh En. Zakaria Ariffin, seorang penulis tersohor yang juga penerima S.E.A. Write Award 2003. Menerusi bengkel ini, peserta dapat mempelajari kaedah dan proses yang betul dalam menerbitkan skrip untuk lakonan pentas.

Menurut penyelaras program, En. Noor Kasmara Sokarnor, bengkel ini bertujuan untuk mengumpulkan naskhah skrip monodrama yang akan disunting dan diterbitkan menjadi sebuah buku. “Buku tersebut akan dilancarkan ketika Festival SEWARNA 2019 yang akan diadakan pada bulan September nanti,” tambah beliau.

Beliau yang bertugas sebagai pegawai kebudayaan di Politeknik Muadzam Shah turut berkata, festival itu nanti akan menganjurkan sebuah pertandingan monodrama yang akan menggunapakai skrip yang terkandung di dalam buku tersebut.

“Saya lihat peserta begitu bersemangat menyiapkan naskhah mereka, apa lagi bila diberitahu karya mereka akan dibukukan dan diterbitkan oleh Politeknik Malaysia kelak,” kata Noor Kasmara lagi.

En. Zakaria Ariffin sedang menyampaikan bengkel penulisan bersama pelajar politeknik.

SEWARNA 2019 atau nama penuhnya Festival Kebudayaan dan Seni Warisan ke-9 & Semarak Merdeka Nasional Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia adalah sebuah program yang menggabungkan acara kebudayaan dan sambutan bulan kemerdekaan serentak. Ia akan berlangsung pada 16 hingga 20 September 2019 bertempat di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.